Monday, 28 November 2011

Tip Untuk Menulis Siri 7

Oleh MQ Human Development
Kita kembali kepada FORMULA P yang ke 4 iaitu penyelidikan. Bagi
sesebuah karya menjadi bestseller ia perlu dibuat dengan kajian
yang mendalam. Bukan sekadar bercerita yang tidak mempunyai
fakta. Seorang pengarang yang ingin jadi pengarang bestseller
perlu peka dengan situasi dan kehendak pembaca semasa. Cara yang
paling mudah bagi mengesan trend pembaca adalah berdasarkan
beberapa indikator. Indikator tersebut adalah :

a) Isu semasa terhangat sekarang dan akan datang


Para penulis harus melihat apakah isu yang sedang diperkatakan

sekarang. Sebagai contoh di dalam kegawatan ekonomi sekarang ini
orang sedang sibuk bercerita mengenai cara mudah buat duit. Jadi
buku-buku yang seumpama itu memang laris dalam pasaran. Buku
mengenai bekerja dari rumah, buat duit melalui internet, MLM dan
subjek kewangan lain adalah subjek terhangat pada waktu ekonomi
gawat.

Kemudian para penulis cuba buat penilaian isu yang akan jadi

hangat di masa hadapan. Sebagai contoh sekarang sedang sibuk
diperkatakan bahawa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun
ini. Antara buku yang dijangka hangat adalah buku mengenai
kepimpinan, politik Islam, cara bercakap dan memilih pemimpin.

Kesemua ini perlu bagi memastikan karya yang dibuat diterima

pasaran pada masa betul.

b) Melihat carta bestseller tempatan dan antarabangsa


Penulis perlu peka dengan carta bestseller. Di Malaysia carta

bestseller yang popular adalah di MPH Bookstores dan Popular
Bookstores. Kedua-dua syarikat ini mempunyai rangkaian kedai di
seluruh daerah besar Malaysia. Carta mereka ini boleh dijadikat
indikator terbaik pembaca tempatan. Namun begitu berdasarkan
senarai tersebut (saya ada senarai penuh buku terbaik setiap
outlet MPH seluruh Malaysia daripada tahun 2000 hingga sekarang,
ini P&C) kita boleh lihat beberapa trend berbeza di antara satu
kawasan dengan kawasan lain. Ini menarik untuk dikaji oleh
penulis.

Carta antarabangsa yang bagus dilihat adalah Amazon.Com ataupun

PublishersWeekly.com. Kedua-duanya memberikan gambaran trend
antarabangsa. Ada kebarangkalian trendnya tidak banyak berbeza
di Malaysia. Cuma kita ada perbezaan budaya. Itu yang perlu
diambilkira. Carta yang menjadi rujukan utama di barat adalah
New York Times Bestseller List. Ini juga bagus untuk dikaji.

Berdasarkan maklumat di atas, kita boleh membuat kesimpulan

mengenai trend pembaca. Kemudian berpandukan maklumat ini kita
boleh melihat bagaimana untuk menulis karya kita. Satu lagi,
karya yang baik perlu dibanyakkan dengan cerita-cerita. Ia boleh
berdasarkan cerita-cerita lama seperti kisah dari Quran, hadis,
cerita rakyat juga cerita semasa. Cerita-cerita ini sebagai
resipi penarik kepada karya. Adunan cerita dan fakta menjadikan
karya tersebut mempunyai magnet tarikan hebat.


No comments:

Post a Comment