Sunday, 27 November 2011

Tip Untuk Menulis Siri 2


Petikan daripada FAUZUL NA'IM ISHAK, Jurulatih Utama Akademi Penulis Sdn. Bhd.

Apakah Buku Yang Laris Dalam Pasaran?
Soalan ini sering ditanya kepada saya di pejabat, ruang makan, forum-forum, bengkel-bengkel penulisan dan mana sahaja. Ramai yang ingin tahu buku apa yang laris dan patut ditulis oleh mereka.

Apabila menyebut buku yang laris. Semua buku boleh jadi laris. Tidak kira buku itu buku ilmiah berat, buku dalam bidang motivasi, kekeluargaan, perhubungan, bisnes, wanita, novel kanak-kanak, novel remaja dan sebagainya.

Namun ada beberapa faktor yang membezakan di antara buku yang laris dengan tidak. Faktor-faktornya adalah:

a) Pakej

Sesebuah buku perlu dipakej dengan betul. Pakej daripada sudut judul, persembahan bahasa, persembahan kulit, pakej rempah ratus dalam buku dan harganya.

b) Musim

Buku yang diterbitkan perlu mengikut musimnya. Musim ini boleh dilihat dengan melawat kedai buku. Selalunya kedai-kedai buku melancarkan program promosi berdasarkan musim tertentu. Sebagai contoh pada bulan Oktober, November dan Disember, kedai buku melancarkan program Back To School (Kembali ke Sekolah), bulan Februari sebagai bulan berkasih sayang dan sebagainya. Ini menyebabkan buku yang kita terbitkan itu boleh dimasukkan ke dalam perkiraan program promosi mereka.

c) Promosi dan Pemasaran

Program promosi dan pemasaran yang dilakukan juga amat mempengaruhi jualan buku. Buku perlu diketahui kewujudannya. Buku yang baik tetapi tidak diketahui kewujudannya akan menyebabkan ia kurang mendapat sambutan berbanding buku tidak berkualiti tetapi promosinya baik. Di sini adalah tugas bersama penulis dan penerbit. Penerbit yang baik akan menyediakan program pemasaran bersepadu. Penulis pula perlu bersedia untuk memenuhi semua program yang dirancang oleh penerbit.

Tulis Apa Sahaja

Jadi kesimpulan yang boleh dibuat adalah tulis apa sahaja. Namun sebelum menulis perlu merancang terlebih dahulu penulisan. Penulisan mempunyai 3 fasa iaitu Pra Penulisan, Penulisan dan Pasca Penulisan.

Pra Penulisan adalah proses kita merancang penulisan. Bidang apa yang ingin dipilih sebagai bidang penulisan, apa pakejnya, hala tujunya dan apa yang kita ingin pembaca buat selepas membacanya.

Penulisan adalah fasa di mana kita menuliskan buku kita. Gaya persembahannya, jalan ceritanya dan ke mana kita hendak membawa pembaca kita.

Pasca Penulisan adalah fasa terakhir dan paling penting. Fasa ini saya sebut juga sebagai fasa pemurnian. Kita memurnikan isi, ayat, tatabahasa dan yang paling penting isu-isu hak cipta. Kita tidak mahu karya yang kita tulis itu mengandungi kesalahan daripada sudut hak cipta. Karya yang sebegini dikira sebagai karya plagiat dan boleh didakwa di mahkamah.

No comments:

Post a Comment