Oleh FAUZUL NA'IM ISHAK
Ada yang terfikir hendak menjadi seorang usahawan. Namun apakah bisnes yang ingin diceburi? Bisnes pertaniankah? Bisnes onlinekah? Bisnes MLMkah? Bisnes runcitkah? Ada yang hendak menjadi kerjaya baru. Melihat kerjaya yang lebih baik daripada sekarang.
Kerjaya Sebagai Seorang Penulis
Saya mempunyai ramai sahabat yang sudah mula mengorak langkah membina kerjaya dalam bidang penulisan. Menulis buku pertama, siap buku pertama tulis pula buku kedua, ketiga dan seterusnya.
Selepas beberapa lama, mereka sudah mula mempunyai pendapatan daripada royalti mereka. Mula-mula sedikit sahaja, mungkin dalam dua ke tiga ribu tertulis pada cek royalti. Pada ketika ini, mungkin masih belum 'ghairah'. Namun selepas beberapa lama, angka pada ceknya sudah berubah daripada dahulunya sekadar 4 angka (ribu), sekarang menjadi 5 angka (puluh ribu). Mula terasa kepuasannya.
Jualan Album Menurun
Percaya ataupun tidak, pengarang buku sekarang ini mendapat pendapatan lebih lumayan daripada seorang penyanyi? Pada era sekarang, era dunia tanpa sempadan. Masyarakat mudah mengakses maklumat melalui internet. Audio dan visual seperti lagu, video dan ceramah motivasi sudah berlambak disebarkan melalui internet. Ada yang diberikan secara berbayar dan banyak pula secara percuma (cetak rompak?)
Ini memberikan kesan yang cukup besar kepada industri seni suara. Di barat statistik jualan album jatuh merudum. Album yang mencecah jualan tertinggi sekarang, berbanding dahulu amat berbeza daripada sudut kuantitinya. Perbezaan jualannya mencecah lebih daripada separuh jika dibandingkan sekarang dengan 10 tahun lalu.
Kesan ini juga sudah terkena kepada industri muzik kita Malaysia. Saya dimaklumkan oleh salah seorang rakan yang berkecimpung dalam industri ini. Jumlah album yang boleh mencecah jualan 10,000 ke atas amat sedikit. Hendak dapat jualan 1,000 keping pun susah. Ini yang menyebabkan ramai penerbit muzik sekarang menukar konsep daripada menghasilkan satu album penuh kepada hanya menerbitkan single sahaja.Ia untuk membuat percubaan dalam pasaran di samping menurunkan kos produksinya.
Jualan Buku Naik
Ia berbeza pula dengan buku. Jualan buku daripada tahun ke tahun meningkat naik. Tahun ini sahaja kita melihat perkembangan mendadak jualan buku PTS secara keseluruhan sebanyak 40 peratus. Pada ketika dunia gawat, jualan buku meningkat naik. Saya sengaja membuat perkiraan royalti yang bakal diperoleh beberapa pengarang PTS.
Selepas melihat statistik jualan tahunan 2009, saya menjangkakan tahun 2010 ada beberapa pengarang PTS yang akan mendapat jumlah pendapatan royaltinya melebihi RM100 ribu. Ini amat mengagumkan saya. Dahulunya orang melihat penulisan buku tidak seksi. Tidak ada faktor WOWnya. Sekarang berubah. Dunia buku mengandungi emas yang hanya orang tertentu sahaja menemuinya.
Memang menarik untuk menjadi salah satu sumber pendapatan kepada sesiapa sahaja. Ia tergolong dalam pendapatan pasif, bekerja sedikit tetapi pendapatan berpanjangan. Ada juga beberapa individu yang membuat keputusan untuk menjadikan dunia penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa.
Ingin Menjadi Pengarang?
Ada yang berminat hendak menjadi pengarang? Menjelajahi dunia penuh misteri yang mempunyai simpanan harta karun besar ini? Saya amat cadangkan kepada sesiapa sahaja untuk menulis. Tulis apa sahaja. Bagi yang berminat dalam dunia kreatif, berkreatid dengan menulis cereka, cerpen ataupun novel. Bagi mereka berfakta dan mempunyai gudang ilmu besar. Tulis buku non fiksyen. Buku motivasi, pengurusan, pendidikan dan pentadbiran.
Apa sahaja boleh ditulis. Simpanan buku kita yang memenuhi rak-rak perpustakaan mini di rumah dan pejabat boleh dijadikan modal mula untuk tujuan itu.
Tidak tahu hendak mulakan? Bagaimana menulis cara yang baik? Teknik terbaik menulis? Gaya persembahan menangkap pembaca? Ini tentu persoalan yang bermain kepada penulis pemula atau baru.
No comments:
Post a Comment